Sabtu, September 19


Kelab Media Massa Melaka ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli-ahli KEMM dan keluarga serta semua umat Islam di mana juga berada. Semoga Syawal ini akan mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama kita.

Selasa, September 15

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan Cheng


CHENG, 15 Sept- Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyarankan agar Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini dapat meluangkan masa melawat pusat-pusat kebajikan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mohd Ali berkata, kunjungan NGO ke pusat-pusat kebajikan sedikit sebanyak dapat menghiburkan penghuninya, selain dapat menghulurkan sumbangan.

"Saya lihat mereka amat gembira tinggal di sini dan tidak menghadapi masalah dan kepada waris mereka, saya harap bawalah warga emas ini pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga,"katanya.

Mohd Ali berkata demikian semasa sidang media selepas bersahur bersama penghuni Rumah Kenangan Cheng dan petugas media, di Rumah Kenangan Cheng, di sini, awal pagi ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Karim Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangga Batu, Datuk Tahir Hasan, dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Ir Idris Haron dan pegawai-pegawai agensi terlibat.

Program anjuran Kelab Media Massa Melaka (KEMM) itu turut dihadiri petugas media seluruh Melaka. Turut hadir Yang Dipertua KEMM, Mohd Rafi Bachik.

Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada KEMM kerana menganjurkan lawatan ke Rumah Kenangan Cheng untuk bersahur.

"Ini kegiatan yang amat baik untuk bersama-sama penghuni kerana mereka tiada keluarga dan bergantung kepada pembelaan dan penjagaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya melihat mereka gembira dengan kunjungan ini dan saya difahamkan ada di antara mereka akan pulang berhari raya apabila diambil oleh anak-anak kelak,"katanya.

Mohd Ali juga kagum dengan kemahiran segelintir warga emas di sini yang berbakat membuat kraftangan manik berbentuk karekter anak patung dan watak kartun popular, Pink Panther.

SUMBER : Melaka Hari Ini

Ahad, September 13

Berbuka Puasa Bersama KEMM

Bersempena dengan bulan Ramadan al-Mubarak, Kelab Media Massa Melaka (KEMM) telah mengadakan satu majlis berbuka puasa di perkarangan pejabatnya di Rumah Media Melaka di Ayer Keroh.

Selain berbuka puasa, ahli-ahli KEMM yang hadir turut berkesempatan melunaskan tuntutan membayar zakat fitrah apabila seorang amil dari Pusat Zakat Melaka (PZM) turut dijemput khusus bagi memudahkan ahli-ahli melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, di mana acara berbuka akan turut diselitkan dengan upacara penyampaian sumbangan Hari Raya, kali ini KEMM telah bermurah hati menyumbangkan daging lembu sebanyak lima kilogram setiap seorang kepada semua ahli-ahli yang hadir.

Selain itu, acara cabutan bertuah turut diadakan, di mana hadiah-hadiah menarik, termasuk tiket percuma Eye on Malaysia serta penginapan di beberapa hotel terkemuka di Melaka, turut diadakan.

Sabtu, September 12

Gotong-Royong


BUKIT BARU - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mahu lebih banyak agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti gotong-royong bagi meningkatkan tahap kebersihan di negeri ini.

Ini kerana usaha sedemikian secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kebersihan, sekaligus menaikkan imej Melaka, sesuai dengan harapan menuju Melaka Maju 2010, di mana kebersihan menjadi agenda utama.

"Biarpun rumah kita kecil, namun di sekelilingnya ceria dengan pokok-pokok segar, tiada sampah sarap dan sebagainya. Jika semua pihak membantu, saya percaya Melaka boleh terus menjadi negeri contoh yang terbaik di Malaysia dari segi kebersihan yang mempunyai 'standard' negeri maju," katanya.

Mohd Ali berkata demikian kepada media selepas menyertai aktiviti gotong-royong yang diadakan oleh Kelab Media Massa Melaka (KEMM) di rumah warga emas, Abu Mat, 90, di Kampung Bukit Pulau, di sini petang ini.

Aktiviti berkenaan turut disertai barisan Ahli Jawatankuasa serta ahli-ahli KEMM dengan kerjasama S.E Maju Enterprise.

Hadir sama, Yang Dipertua KEMM, Mohd Rafi Bachik;Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Pulau, Latiff Muhamad serta penduduk kampung berkenaan.

Mohd Ali memberitahu, usaha ini amat sesuai dengan kehadiran bulan Ramadan dan menjelangnya Syawal tidak lama lagi bagi memberikan kegembiraan kepada semua golongan, termasuk mereka yang miskin dan kaya dapat bergembira menyambut Syawal bersama sanak-saudara.

"Saya mengucapkan tahniah kepada KEMM kerana mengadakan gotong-royong mengecat rumah warga emas di Kampung Bukit Pulau, selain membersihkan kawasan sekitar," katanya.

SUMBER : Melaka Hari Ini

Jumaat, Ogos 14

Mencegah H1N1

Saranan Kementerian Kesihatan supaya orang ramai memakai topeng muka dan menjaga kebersihan bagi mengelak diri dijangkiti wabak selsema babi atau Influenza A (H1N1) disambut baik oleh Kelab Media Massa Melaka (KEMM).

Yang Dipertua, Mohamad Raffi Bachik berkata, memakai topeng muka adalah penting, terutamanya di kalangan wartawan yang sememangnya sentiasa terdedah dengan orang ramai di majlis-majlis keramaian.

Menurutnya, penyerahan topeng muka dan sabun nyahkuman oleh KEMM bertujuan memberi kesedaran kepada ahli-ahli supaya sentiasa peka dengan mengambil langkah pencegahan.

“KEMM sentiasa peka terhadap kebajikan ahli-ahlinya dan kita mengikut saranan kementerian supaya melakukan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan penularan wabak ini.

“Bagaimanapun, jika penularan wabak semakin kritikal, KEMM akan terus memberi topeng muka atau keperluan lain mengikut kepentingan semasa,” katanya.

Katanya, beliau mengharapkan jika terdapat mana-mana wartawan yang disahkan positif selsema babi, perlu melaporkan kepada KEMM untuk mengambil tindakan seterusnya.